Kuala Lumpur, 20 Februari 2023 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan penambahan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) terutama di Sabah dan Sarawak bagi kes-kes jenayah kanak-kanak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Dato' Sri Abd Jalil Hasan berkata, setakat ini, pihak polis mempunyai sebanyak 14 pusat CIC di seluruh negara.
"Buat masa ini, di negeri-negeri terbabit hanya mempunyai satu pusat di setiap negeri," katanya ketika lawatan kerja Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Hjh. Nancy Hj. Shukri ke CIC Bahagian Siasatan Seksual dan Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, di sini, hari ini.
Beliau turut melahirkan penghargaan atas lawatan berkenaan sekali gus berharap beberapa isu dibincangkan dapat diberi perhatian khusus oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.
Dato' Sri Abd Jalil berkata, isu pornografi membabitkan kanak-kanak di negara ini tidak membimbangkan, namun perlu dipandang serius oleh semua pihak.
"Kita (PDRM) sentiasa menerima maklumat daripada agensi luar antaranya Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Royal Thai Police berkaitan kes-kes pornografi di negara ini selain membabitkan rakyat Malaysia di luar negara," katanya.
