Article
Artikel Pilihan Kegiatan Muat Turun Bahan Seksual Kanak Kanak Masih Berleluasa
Kuala Lumpur, 21 April 2024 - Kegiatan memuat turun dan berkongsi kandungan lucah kanak-kanak atau bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam talian m...
Kuala Lumpur, 21 April 2024 - Kegiatan memuat turun dan berkongsi kandungan lucah kanak-kanak atau bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam talian masih di tahap membimbangkan walaupun menunjukkan trend penurunan sejak dua tahun lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Siti Kamsiah Hassan berkata, bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, pihaknya mengesan 808 aktiviti muat turun dan perkongsian kandungan sedemikian.
"Angka ini merupakan jumlah aktiviti muat turun yang dikenal pasti dan tidak merujuk kepada bilangan individu yang melakukan perbuatan berkenaan, kerana terdapat kemungkinan seorang individu melakukan lebih daripada sekali muat turun," katanya baru-baru ini.
SAC Siti Kamsiah berkata, jumlah aktiviti itu, dikesan berkurangan setiap tahun dengan pada 2022 dan 2023, masing-masing sebanyak 41,096 dan 33,692 aktiviti, direkodkan.
Beliau berkata, ke arah mengekang kegiatan itu dari berleluasa, pihaknya kini dalam proses membangunkan bank data, antara lain bagi menyimpan maklumat mengenai kejadian yang berlaku dalam negara.
"Kami juga giat melaksanakan kempen kesedaran melalui ceramah dan pameran bagi meningkatkan kesedaran orang ramai," katanya.
Sumber: Harian Metro
