
Artikel
Artikel Pilihan Ipk Terengganu Terima 26 Pacuan Empat Roda Baharu Timbalan Kpn
Sumber: Harian Metro
Marang, 5 Disember 2021 - Polis Kontinjen Terengganu menerima 26 kenderaan pacuan empat roda (4x4) Toyota Hilux GS Cargo baharu untuk membantu penugasan pasukan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim berkata, kenderaan itu akan diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebuah Toyota Hilux Cargo diserahkan kepada IPK Terengganu, IPD Kuala Terengganu (enam), IPD Kemaman (empat) serta masing-masing tiga kenderaan kepada IPD Marang, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Dungun.
"Kenderaan ini boleh digunakan untuk membantu melancarkan penugasan ketika banjir dan bencana serta tugas harian termasuk operasi dan Op COVID-19 di Terengganu.
"Sebenarnya, kita dapat 400 pacuan empat roda ini membabitkan kos RM62 juta dan ini adalah penyerahan terakhir untuk Kontinjen Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis Toyota Hilux GS Cargo Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 6 Wakaf Tapai, di sini, hari ini.