Article
Artikel Pilihan Balai Polis Lintang Ditutup Sementara Dilanda Banjir Sekali Lagi
Sumber: BERNAMA
Ipoh, 16 Oktober 2024 – Balai Polis Lintang yang terletak di Sungai Siput tidak dapat beroperasi buat sementara waktu berikutan kawasan berkenaan kembali dilanda banjir sejak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata kerja-kerja pembersihan sudah dilakukan sejak Isnin lepas sebaik banjir pulih ketika itu.
“Kawasan sekitar dinaiki air semula kira-kira 10 malam tadi akibat hujan lebat semalam. Air naik begitu cepat dan kita telah membuat pemindahan aset-aset penting di balai ke tempat lebih selamat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Superintenden Mohd Khaizam berkata mana-mana penduduk setempat yang mahu membuat laporan polis boleh berbuat demikian di balai polis berhampiran seperti Balai Polis Simpang Jalong atau Balai Polis Salak Baru.
