
Artikel
Artikel Pilihan Anggota Polis Parah Terseret 20 Meter Ketika Kejar Suspek
Kepala Batas, 10 September 2021 - Seorang koperal polis cedera parah, selepas diseret hampir 20 meter sebelum terjatuh ke dalam longkang ketika mengejar seoran...
Kepala Batas, 10 September 2021 - Seorang koperal polis cedera parah, selepas diseret hampir 20 meter sebelum terjatuh ke dalam longkang ketika mengejar seorang lelaki yang melarikan diri dalam kejadian di Penaga di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.00 pagi itu, beberapa anggota polis dalam pemantauan Task Force Op COVID-19 di kawasan berkenaan, terserempak seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan menggunakan nombor pendaftaran yang diubah suai.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Tuan Noorzainy Mohd Noor berkata, selepas memperkenalkan diri, anggotanya mengarahkan lelaki berkenaan memberhentikan motosikalnya di tepi jalan bagi pemeriksaan lanjut.
"Bagaimanapun, lelaki itu terus memecut laju dengan menunggang motosikalnya secara berbahaya, menyebabkan anggota polis terpaksa mengejarnya.
"Apabila tiba di satu simpang, suspek telah melanggar motosikal anggota polis berusia 30 tahun yang berada di sebelah kanan menyebabkan anggota itu terseret hampir 20 meter sebelum terjatuh ke dalam longkang," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Tuan Noorzainy berkata, suspek meloloskan diri dari lokasi tetapi tidak lama kemudian dia berjaya ditahan di kawasan berhampiran.
Sementara itu, Tuan Noorzainy berkata, anggota polis yang cedera dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut.
"Anggota berkenaan cedera parah dengan patah bahu kanan dan luka pada badan, manakala suspek turut mengalami calar pada badan," katanya.
Sumber: Berita Harian Online