Al Fatihah Anggota Polis Bukit Aman Maut
Bentong, 12 Oktober 2018 - Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 6 Jalan lama Bentong-Gombak di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata kejadian yang berlaku pada jam 8.28 pagi itu telah menyebabkan mangsa yang bernama Muhd Abdul A’zim Ishak, merupakan anggota polis narkotik Bukit Aman telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan tersebut bermula apabila mangsa dari Felda Mempaga 2 hendak ke tempat kerjanya di Bukit Aman manakala lori tersebut dari arah Kuala Lumpur menuju ke Bentong.
"Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu lori cuba mengelak air yang bertakung ke kanan jalan lalu bergesel dengan penunggang motosikal.
"Kemalangan tersebut telah menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah bahagian di bahagian kepala yang menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam pada itu, Yusuf berkata pemandu lori dan kelindannya tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, kemalangan tersebut telah menyebabkan motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di sebelah kanan motosikalnya.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan kes ini masih diteruskan,” katanya.