
Artikel
Acp Dr S Parusuraman Dilantik Sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Etika Badan Kehakiman Fifa
Syabas dan tahniah Dr. Parusuraman! Anda kebanggaan kami!
Kuala Lumpur, 19 November 2021 - Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melalui jawatankuasa bebasnya telah melantik Penolong Pengarah (Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, ACP Dr. Parusuraman Subramanian menjadi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Etika (Deputy Chairperson of Investigatory Chambers of Ethics Committee), Badan Kehakiman (Judicial Bodies) FIFA bagi penggal 2021-2025.
Antara tugas yang bakal dipikul Dr. Parusuraman dalam badan bola sepak induk dunia itu ialah mendengar dan memutuskan kes-kes yang melibatkan pelanggaran etika oleh mana-mana pegawai atau pemain bola sepak negara ahli persatuan sebagaimana diperuntukkan di bawah perundangan FIFA.
Dr. Parusuraman yang mewakili Malaysia telah terpilih daripada 209 wakil negara lain dari seluruh dunia selepas berjaya memperoleh 139 undian dalam Kongres FIFA 2021 yang diadakan pada 21 Mei lalu, bertempat di Zurich, Switzerland.
Kemenangan undian kepada wakil Malaysia dalam pemilihan itu merupakan satu pengiktirafan besar dan membanggakan buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya dan negara amnya.
Seluruh warga PDRM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Parusuraman atas pelantikan tersebut dan semoga beliau dapat menggalas tugas yang diamanahkan dengan jayanya di pentas antarabangsa.
Syabas dan tahniah Dr. Parusuraman! Anda kebanggaan kami!