
62 Anak Warga Pdrm Sertai Majlis Khatan Perdana 2021
Kuala Lumpur, 19 Disember 2021 – Seramai 62 anak-anak warga Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menyertai Majlis Khatan Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2021 anjuran Masjid Bukit Aman di Dewan Serbaguna, di sini, pagi tadi.
Majlis yang dirasmikan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani itu adalah kali ke-5 dianjurkan dengan kerjasama daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Berucap dalam majlis itu, Tan Sri Acryl Sani menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada HCTM yang telah menaja sepenuhnya bayaran perubatan program berkhatan yang dijalankan sekali gus dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga yang menyertai program ini.
Selain itu, Tan Sri Acryl Sani juga turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada para peserta berkhatan sebelum sesi semburan air dengan bantuan “water canon” daripada Pasukan Simpanan Persekutuan sebagai acara simbolik majlis.
Objektif utama penganjuran majlis adalah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga khususnya daripada golongan B40 yang bertugas di Bukit Aman dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di samping dapat menunaikan tanggungjawab yang disyariatkan dalam Islam.
Turut hadir, Timbalan KPN, DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim, Pengarah HCTM, Profesor Dato’ Dr. Razman Jarmin, Ketua Unit Urologi Jabatan Surgeri HCTM, Profesor Dato’ Dr. Zulkifli Md Zainuddin, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, CP Datuk Wira Mat Kasim Karim, Pengurus Besar Ronald Mcdonald House Charities (RMHC) Malaysia, Encik Mohd Nasri Mohd Nordin serta warga PDRM Bukit Aman.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin