Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Kenyataan Media Penjelasan Penahanan Penyokong Hindraf

Diterbitkan: 07 Aug 2014 3.25 AM Dikemas kini: 24 Aug 2026 1.22 PM
PENJELASAN PENAHANAN PENYOKONG HINDRAF, NAGESWARY A/P KARUPPAN BERSAMA ANAKNYA YANG BERUSIA 6 TAHUN Merujuk kepada isu penahanan 11 penyokong hindraf semasa mengadakan perhimpunan haram di hadapan jabatan perdana menteri pada 23 oktober 2008 yang lalu. Berikut adalah penjelasan pdrm berkaitan dengan isu tersebut. Pihak polis ingin menegaskan bahawa kanak-kanak berusia 6 tahun tersebut tidak ditahan oleh pihak polis s
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/kenyataan-media-penjelasan-penahanan-penyokong-hindraf
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 16:55 MYT



Kenyataan Media Penjelasan Penahanan Penyokong Hindraf

PENJELASAN PENAHANAN PENYOKONG HINDRAF,
NAGESWARY A/P KARUPPAN BERSAMA ANAKNYA YANG
BERUSIA 6 TAHUN

 

Merujuk kepada isu penahanan 11 penyokong hindraf semasa mengadakan perhimpunan haram di hadapan jabatan perdana menteri pada 23 oktober 2008 yang lalu. Berikut adalah penjelasan pdrm berkaitan dengan isu tersebut.

 

Pihak polis ingin menegaskan bahawa kanak-kanak berusia 6 tahun tersebut tidak ditahan oleh pihak polis sepertimana yang telah dilaporkan oleh beberapa media tempatan. Polis membenarkan kanak-kanak tersebut mengikut ibunya, Nageswary a/p Karuppan (isteri kepada Waythamoorthy Ponnusamy, pengerusi hindraf), yang telah ditahan oleh pihak polis pada masa tersebut.

 

Sungguhpun demikian, pihak polis telah membebaskan wanita berkenaan dengan jaminan polis pada hari yang sama, tetapi wanita berkenaan enggan dijamin dan tidak mahu beredar dari balai polis putrajaya. Sepanjang masa berada di balai polis putrajaya, kanak-kanak berkenaan sentiasa bersama dengan ibunya dan mereka tidak pernah dimasukkan ke dalam lokap polis.

 

Keputusan pihak polis untuk membebaskan Nageswary a/p Karuppan pada hari yang sama, sementara menahan 10 penyokong HINDRAF yang lain dalam lokap adalah atas dasar keperihatinan pihak polis terhadap kanak-kanak berusia 6 tahun tersebut. Nageswary a/p Karuppan, ibu kepada kanak-kanak tersebut, memilih untuk duduk di ruang legar pejabat pertanyaan di Balai Polis Putrajaya sehingga jam 7.30 pagi 24 Oktober 2008 sebelum beredar.

 

Pada masa akan datang, pihak polis akan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan pihak Kementerian Kebajikan bagi menjaga kanak-kanak terbabit dalam situasi yang sama, sekiranya saudara mara terdekat gagal dihubungi atau enggan menjaga kanak-kanak terbabit.

 

Adalah dimaklumkan juga, pihak polis juga sedang menyiasat Nageswary di bawah sek 30 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, kerana melibatkan anaknya yang berusia 6 tahun dalam perhimpunan haram. Bagi tujuan itu, beliau enggan menerima surat meminta kehadiran memberi keterangan setelah beberapa kali usaha menyampaikan surat tersebut kepadanya.

 

PDRM berharap dengan penjelasan ini akan dapat memberi gambaran sebenar dan mengelakkan pihak tertentu yang mengambil kesempatan ini untuk memberi gambaran yang tidak benar dan boleh membawa implikasi negatif ketenteraman awam di negara ini.

 

 

 

(DATUK MOHD BAKRI BIN MOHD ZININ) CP
PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAH
POLIS DIRAJA MALAYSIA

 

Jumlah Bacaan : 22
ArtikelDiterbitkan 07 Aug 2014 3.25 AMDikemas kini 24 Aug 2026 1.22 PM