Tiga Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Polis Di Muar
TIGA DITAHAN DALAM OPERASI BERSEPADU POLIS DI MUAR
Muar, 2 Jun 2017 - Pasukan Polis Marin (PPM) Muar bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar semalam melakukan Op Bersama di sebuah rumah di Kampung Tengah Sungai Abong, dekat sini.
Dalam operasi bermula jam 2.00 petang itu, seramai tiga individu warga tempatan berusia 40 hingga 61 tahun ditahan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Komander PPM Wilayah Dua, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan yang dilakukan pihak polis di dalam sebuah premis tidak bernombor itu juga menjumpai lapan paket dadah jenis Syabu yang disorokkan dalam botol minuman bersama wang tunai berjumlah RM12,340.
"Selain barang kes tersebut, polis turut merampas beberapa buah kenderaan milik suspek berupa sebuah Nissan Frontier, Honda Accord, BMW dan Proton Gen2," ujar beliau.
Kesemua yang ditahan bersama barang kes dibawa ke BSJND IPD Muar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.