Polis Tahan Empat Lelaki Rampas Air Ketum Dan Ubat Batuk
Bukit Mertajam, 14 Okt - Polis menahan empat lelaki dan merampas 32 bungkusan air ketum serta 131 botol ubat batuk dalam pemeriksaan di sebuah kedai runcit dan kedai makan di Jalan Permatang Rawa, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata polis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Pejabat Tanah dan Daerah SPT menjalankan operasi bersepadu di kawasan berkenaan sebelum menahan empat lelaki berusia 18 hingga 38 tahun.
"Dalam operasi bermula pukul 8.30 pagi hingga 11 pagi itu, kami menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan sebelum mendapati dua buah kedai terbabit menjual barang larangan itu.
"Polis menahan empat lelaki yang terdiri daripada pemilik kedai, pekerja dan pelanggan sebelum merampas air ketum serta ubat batuk bernilai RM1,764," katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati air ketum itu dijual dengan harga RM6 sebungkus manakala RM12 bagi setiap botol ubat batuk.
Rusli berkata dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah kereta, dua buah motosikal, sebilah pisau dan wang tunai sebanyak RM370.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan air ketum dan ubat batuk itu dijual kepada pelanggan tetap mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.
Katanya empat lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Selain itu, Rusli berkata pihak MPSP turut mengeluarkan saman dan kompaun kerana pemilik kedai makan itu berniaga tanpa lesen. - BERNAMA