Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Jumpai Dadah Senapang Angin Di Rumah Suspek Kes Ugut

Diterbitkan: 07 Sep 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis yang bertindak menahan seorang suspek kes ugut berusia 22 tahun selepas menerima laporan, membawa kepada penemuan 167 biji pil dipercayai pil kuda, selaras senapang angin dan sebuah motosikal curi di rumah suspek.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-jumpai-dadah-senapang-angin-di-rumah-suspek-kes-ugut
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 15:52 MYT

Besut, 7 Sept - Polis yang bertindak menahan seorang suspek kes ugut berusia 22 tahun selepas menerima laporan, membawa kepada penemuan 167 biji pil dipercayai pil kuda, selaras senapang angin dan sebuah motosikal curi di rumah suspek.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah berkata, polis juga menemukan 113 biji bebola besi yang dipercayai digunakan sebagai peluru senapang angin dan sebilah pedang berhulu.

Beliau berkata, motosikal itu yang nombor enjinnya telah dirosakkan dipercayai dicuri di kampung yang sama manakala pil berkenaan ditemukan dalam beg pinggang dan dompek suspek.

“Polis menahan suspek di rumahnya di Kampung Baru Tok Dor, Jerteh di sini pada kira-kira 5.30 petang Sabtu lepas setelah menerima laporan pada kira-kira 1.45 pagi daripada seorang remaja lelaki,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, seorang remaja lelaki berumur 18 tahun telah pergi menemui suspek bersama seorang rakannya untuk menanyakan tentang tindakan suspek yang didakwa menceroboh rumahnya dan memukul adiknya tanpa sebab sebelum itu.

"Dalam pertemuan kira-kira jam 1.45 pagi Sabtu itu suspek telah bertindak agresif sambil menunjukkan sebilah pedang dan melepaskan tembakan senapang angin ke udara bagi menakut-nakutkan remaja dan rakannya itu.

"Tindakan suspek itu menyebabkan remaja berkenaan telah membawa adiknya untuk membuat laporan polis," katanya.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan,” ujar beliau.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 07 Sep 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM